Saturday, April 3, 2010

Keguguran Berulang Masih Ada Peluang Hamil


Oleh: ROSLAH OTHMAN


DR. ZAMRI Abdul Rahim menyambut kelahiran bayi yang dilahirkan melalui pembedahan ibu-ibu yang kerap mengalami keguguran boleh juga mengalami proses ini jika berisiko untuk melahirkan bayi secara normal.

JANGAN putus asa dan kecewa apabila mengalami keguguran, sebaliknya berusaha menjaga kesihatan dan mengambil langkah menjaga kandungan lebih serius sebaik disahkan hamil.

Wanita yang mengalami masalah sering keguguran berulang atau dalam istilah perubatannya disebut Recurrent Miscarriage biasanya akan mengalami fenomena ini.

Antara soalan yang sering diajukan kepada doktor sakit puan ialah “Apakah saya masih berpeluang untuk hamil lagi” atau “Sampai bilakah saya akan terus menghadapinya.”

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Dr. Zamri Abdul Rahim, ketika diajukan perkara sama berkata, peluang untuk seseorang itu memperoleh anak masih tinggi iaitu 60 hingga 70 peratus sekiranya pengesanan lebih awal punca kenapa keguguran itu berlaku dijalankan.

Katanya, wanita yang pernah mengalami keguguran pada kandungan pertama tidak perlu gusar atau terlalu bersedih kerana ia kejadian normal bagi kebanyakan orang.

“Secara ringkasnya, wanita yang pernah mengalami keguguran juga bermakna pernah hamil, malah tiada masalah untuk mereka hamil lagi berbanding wanita yang belum pernah hamil.

Bagaimanapun, wanita yang pernah keguguran bermakna ia lebih berisiko untuk mengalami keguguran kali kedua atau ketiga dan seterusnya,’’ ujarnya dalam pertemuan dengan MEGA.

Seseorang itu dikatakan mengalami keguguran berulang apabila mengalami tiga kali keguguran atau lebih sebelum 24 minggu usia kandungan.

Bagaimanapun senario kini menjelaskan wanita yang pernah mengalami masalah tersebut jarang menunggu sehingga keguguran yang seterusnya.

Sebaliknya kata Dr. Zamri, selepas keguguran pertama mereka dinasihatkan agar menjalani ujian tertentu bagi mengesan punca kejadian.

“Ujian-ujian tertentu seperti ujian darah, ultrabunyi dan karyotype, khususnya bagi keguguran berulang perlu dilakukan untuk mengkaji bahan baka suami dan isteri dan mengenalpasti punca keguguran itu berlaku.

Punca keguguran seeloknya dikenal pasti supaya masalah itu dapat dirawat sebelum wanita itu hamil semula,’’ ujarnya.

Menurut Dr. Zamri, dianggarkan antara 15-20 peratus kandungan akan mengalami keguguran cara begini. Keguguran yang berlaku secara rambang amat susah untuk dicegah dan kejadian ini dianggarkan hanya satu peratus melibatkan kalangan wanita sahaja.

Apabila pemeriksaan dilakukan ke atas wanita yang bermasalah seperti ini, majoriti mereka tidak mempunyai sebab yang jelas.

Kata Dr. Zamri, sering kali masalah servik yang lemah dikatakan punca keguguran, tetapi sebenarnya ia bukanlah punca utama. Sebaliknya terdapat juga faktor lain seperti ginetik, sistem peranakan tidak normal, fabroid dan hormon tidak seimbang.

Beliau juga menjelaskan bahawa wanita berusia melebihi 40 tahun juga berisiko menghadapi masalah ini. Oleh itu wanita yang berkahwin dinasihatkan agar hamil pada usia muda untuk mengelakkan kromosom tidak normal.

“Sebahagian besar punca tidak diketahui dan kebanyakan kes ini dirawat secara empirikal tanpa bukti jelas yang ia berkesan.

“Temu janji dengan doktor sekerap yang mungkin berserta dengan ujian ultrabunyi setiap kali rawatan dapat menbantu wanita dari segi psikologi,’’ ujarnya.

CARA RAWATAN

*Aspirin pada dos yang rendah seperti 75 mg setiap hari atau heparin digunakan pada mereka yang mempunyai masalah sindrom antifosfolipid.

*Penggunaan aspirin sudah mencukupi bagi merawat masalah ini. Kadang kala steroid bersama dengan aspirin digunakan tetapi steroid memberikan lebih banyak kesan sampingan.

*Suntikan hormon hCG bagi membantu perkembangan embrio pada peringkat awal kandungan terutamanya bagi wanita yang mempunyai haid yang sedikit.

*Penggunaan hormon progresteron

*Tidak ada sebarang bukti kukuh ia dapat membantu keguguran dari berlaku.

*Sekiranya punca keguguran adalah kerana servik yang lemah, maka servik perlu dijahit bagi memperkuatkannya sebelum ia terbuka.

*Ini dilakukan apabila janin dikenal pasti, dapat dilihat dan normal.

*Diagnosa servik lemah adalah satu diagnosa secara restopektif dengan melihat sejarah kandungan lalu.

*Walaupun pelbagai cara dilakukan ianya tidak menjamin seseorang itu tidak akan mengalami keguguran sekali lagi. Adalah dipercayai sokongan dari segi psikologi dan penjagaan sejak awal lagi juga dapat membantu mereka terutama daripada suami.

*Selepas keguguran, ibu lazimnya dinasihatkan berehat dan hanya cuba hamil kembali selepas tiga bulan sekiranya umur ibu itu masih muda.

FAKTOR KEGUGURAN BERULANG

Faktor Ginetik

*Dianggarkan kira-kira tiga hingga lima peratus pasangan yang berhadapan dengan masalah ini didapati salah seorang antara mereka membawa kromosom yang tidak normal.

Sistem peranakan tidak normal

*Fibroid yang wujud dalam rongga rahim juga boleh menyebabkan keguguran.

Kecacatan Rahim

*Sukar untuk ditentukan sama ada kecacatan rahim penyebab penting sebagai punca terjadinya keguguran berulang. Kajian menunjukkan, kejadian kecacatan rahim sesetengah wanita yang mempunyai kandungan dan kelahiran normal adalah sama dengan wanita yang bermasalah keguguran berulang.

Contoh kecacatan yang sering ditemui adalah rahim berkembar (bicornuate uterus) dan septum dalam rongga rahim.

Pintu Rahim Lemah

*Masalah servik atau pintu rahim lemah (incompetence) menyebabkan keguguran berlaku ketika trimester kedua iaitu dalam lingkungan 14 hingga 24 minggu. Kecederaan pada servik yang terjadi ketika D&C dan biopsi kon dikenal pasti sebagai punca servik lemah.

Ada wanita mengalami keguguran ketika trimester (kandungan peringkat awal atau tiga bulan pertama) kedua mempunyai servik yang lemah sejak lahir.

Faktor Jangkitan

*Sebarang jangkitan bakteria atau virus serius pada wanita yang mengandung akan menyebabkan keguguran.

Jangkitan kuman yang berulang tidak dapat ditentukan dengan pasti. Misalnya, jangkitan Toxoplasmosis, rubella, cytomegalovirus dan listeria pada ketika dulu dipercayai punca yang menyebabkan keguguran.

*Kehadiran kuman bakteria vaginosis dikaitkan dengan kelahiran tidak cukup bulan dan keguguran trimester kedua dan bukan punca keguguran pada awal 12 minggu. Infeksi kuman atau virus sebagai punca keguguran amat sukar untuk dibuktikan.

Faktor Endokrin

*Kekurangan hormon progesteron pada fasa luteal (dua minggu sebelum haid) pusingan haid dan peringkat awal kandungan dipercayai sebagai punca keguguran berulang berlaku. Kajian klinikal menunjukkan pengambilan hormon progesteron pada awal kandungan tidak memberi apa-apa kelebihan pada hasil kandungan. Selain itu, suntikan hormon hCG juga tidak menunjukkan keputusan yang memberangsangkan dari segi hasil kandungan.

Penyakit seperti kencing manis

*Penyakit kencing manis yang tidak terkawal ketika atau sebelum mengandung juga menjadi punca keguguran. Kencing manis menyebabkan risiko keguguran dan kecacatan bayi meningkat. Selain itu, penyakit kelenjar tiroid dan polycystic ovarian syndrome juga didapati berisiko keguguran yang tinggi.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...