Saturday, April 3, 2010

Sukar Dapat Anak Kedua


Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

“SUDAH puas mencuba, tetapi masih tidak berjaya. Macam-macam kaedah kami cuba, nampaknya belum ada rezeki untuk dapat anak kedua. Anak pertama sudah bersekolah dan asyik bertanya bila boleh dapat adik. Dia teringin hendak ada adik macam kawan lain,” luah seorang teman.


Katanya, mereka tiada masalah kesuburan kerana dia mengandung selepas tiga bulan mendirikan rumah tangga. Sebenarnya banyak pasangan turut menghadapi masalah untuk mendapat anak kedua, walaupun mencuba pelbagai cara.

Isu kesukaran mendapat anak adalah perkara kompleks dan sensitif. Ada pasangan bercerai berai kerana isu ini. Malah, ada lelaki mengambil kesempatan menjadikan perkara ini sebagai alasan untuk berkahwin lagi. Sebelum sebarang keputusan diambil, banyak perkara perlu dipertimbangkan, termasuk tabiat dan gaya hidup anda.

Semua orang tahu tahap kesuburan menurun dengan peningkatan usia, terutama bagi wanita. Bagi lelaki pula, mereka masih berpeluang mempunyai anak walaupun berusia 60 tahun kerana sperma dihasilkan sepanjang hayat.

Secara purata, kebanyakan lelaki mengeluarkan kira-kira 120 hingga 600 juta sperma setiap kali ejakulasi. Bagaimanapun, 90 peratus daripadanya tidak mampu berenang memasuki rahim dan hanya satu iaitu sperma yang benar-benar cergas dan sempurna berjaya mensenyawakan telur dalam tiub fallopian.

Telur yang disenyawakan pula mengambil masa kira-kira 96 jam untuk ada di dalam tiub fallopian sebelum sampai ke rahim. Terlalu awal atau lewat sampai ke rahim akan menyebabkan kehamilan tidak berlaku.

Ketika ini, paras semua hormon yang diperlukan untuk mengandung mestilah pada tahap optimum supaya lapisan dinding rahim yang menjadi tempat telur melekat (dan membesar menjadi embrio) boleh terbentuk dengan sempurna.

Bagaimanapun, keadaan optimum ini kadangkala sukar diperoleh dan ini menyebabkan pasangan perlu menunggu lebih lama untuk mendapatkan anak. Pakar sakit puan mengatakan peluang mensenyawakan telur dan mengandung hanya 25 peratus setiap bulan, tidak kira berapa kali hubungan seksual diadakan.

Kesuburan adalah anugerah yang perlu dihargai dan dipelihara. Banyak faktor boleh menjejaskan kesuburan seseorang, sama ada lelaki atau wanita. Untuk mengekal dan meningkatkan kesuburan, wanita perlu:


  • Mengawal berat badan. Jika dapat, kekalkan berat badan yang seimbang. Berat badan berlebihan boleh menyebabkan masalah ovulasi (pengeluaran telur) dan kitaran haid mungkin terganggu atau terhenti terus jika terlalu kurus.
















  • Kurangkan pengambilan kafein. Ada kajian menunjukkan pengambilan kafein melebihi 500 miligram sehari boleh melewatkan kehamilan. Biasanya secawan kopi mengandungi antara 80 hingga 175 miligram kafein. Bagaimanapun, ia bergantung kepada kaedah penyediaan dan jenis kopi diambil. Bertukarlah kepada kopi tanpa kafein.
















  • Kurangkan pengambilan alkohol, atau lebih baik berhenti terus. Alkohol berlebihan akan menjejaskan peluang wanita untuk hamil kerana ia merencatkan proses ovulasi.
















  • Bersenam secara tetap dan teratur. Senaman bukan saja dapat membantu mengekalkan berat badan, tetapi turut menjadikan anda lebih sihat dan cergas. Ia juga akan menguatkan badan untuk melalui kehamilan tanpa masalah. Senaman juga boleh mengurangkan risiko mengalami masalah sembelit dan vena varikos (urat kaki menjadi kembang dan berbelit) yang biasa dihadapi wanita mengandung.
















  • Jalani pemeriksaan hormon melalui ujian darah. Ini adalah masalah biasa yang menyebabkan wanita sukar mengandung.
















  • Berhati-hati mengambil ubat. Kebanyakan ubat, termasuk pil tahan sakit, antibiotik, ubat tekanan darah tinggi dan anti kemurungan memberi kesan terhadap kesuburan anda. Sebaik-baiknya, ambil ubat apabila diarahkan saja.
















  • Buat pemeriksaan rahim. Masalah dalam rahim seperti endometriosis, fibroid atau sista ovari boleh menjejaskan peluang untuk mengandung. Endometriosis (lapisan tisu yang tumbuh di luar rahim) akan menyebabkan haid menjadi lebih banyak dan sakit. Kehadirannya juga meningkatkan risiko mengandung luar rahim.










  • Selain itu, kitaran haid tidak tetap dan lama (melebihi seminggu), kerap mengalami senggugut, pernah keguguran melebihi dua kali, mempunyai bulu roma yang banyak dan lebat terutama pada muka, berlebihan berat badan, mempunyai masalah kesihatan (diabetes, lupus atau tekanan darah tinggi) juga boleh mengurangkan peluang untuk mengandung.










  • Lelaki juga boleh mengalami masalah penurunan tahap kesuburan. Kira-kira 30 peratus masalah kesuburan berpunca daripada lelaki. Bagi lelaki subur pun, mereka tetap boleh mengalami masalah jika mengamalkan gaya hidup tidak sihat.










  • Antara langkah yang boleh diambil untuk mengekalkan kualiti dan kuantiti sperma ialah:
















  • Berhenti merokok. Asap rokok boleh menyebabkan mencacatkan sperma yang baru terhasil. Kajian menunjukkan bilangan sperma akan meningkat dengan cepat sebaik lelaki berhenti merokok.
















  • Kurangkan minum minuman beralkohol. Tahap kesuburan 40 peratus lelaki meningkat apabila pengambilan alkohol dikurangkan.
















  • Ambil vitamin. Tidak ramai lelaki menitikberatkan soal pengambilan vitamin kerana beranggapan mereka sihat dan makanan membekalkan cukup keperluan harian. Bagaimanapun, anggapan ini kurang tepat kerana banyak vitamin hilang atau musnah ketika proses penyediaan dan memasak.










  • Kekurangan vitamin C dikatakan boleh menyebabkan sperma melekat antara satu sama lain. Justeru, lelaki disaran mengambil sekurang-kurangnya 2,000 miligram vitamin C setiap hari.
















  • Elak keadaan terlalu panas atau memakai seluar ketat. Elak juga terlalu kerap mandi air panas dan sauna kerana ia boleh menjejaskan penghasilan sperma berkualiti.
















  • Jauhi punca pencemaran seperti bahan kimia, racun serangga perosak, lead dan larutan organik.
















  • Rancang masa untuk bersama isteri. Hubungan seks boleh dilakukan selang sehari jika anda merancang mendapat anak. Hubungan seks yang terlalu kerap (setiap hari) boleh mengurangkan bilangan sperma. Bagaimanapun jika tempoh antara hubungan seks itu terlalu lama, sperma yang dikeluarkan pula tua dan kurang aktif.






  • No comments:

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...