Saturday, April 3, 2010

Sukar Peroleh Anak


 
Dipetik Daripada NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

APABILA timbul masalah mendapatkan anak, tiada siapa harus dipersalahkan sebelum pasangan suami isteri menjalani pemeriksaan kesuburan bagi mencari di mana silapnya.

Banyak pasangan menghadapi masalah kerana suami kurang bekerjasama untuk menjalani pemeriksaan kesuburan sedangkan pemeriksaan kesuburan untuk wanita lebih banyak dan leceh.

Inilah nasihat Ketua Unit Klinik Kesuburan, Bahagian Reproduktif Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Masyarakat (LPPKN), Dr Abdul Ghafar Abdul Razak. Masalah kesuburan boleh berlaku di kedua-dua belah pihak, iaitu 30 peratus berpunca daripada suami, 30 peratus daripada isteri, 30 peratus gabungan kedua-duanya, manakala 10 peratus lagi tidak diketahui.

Oleh kerana pecahan antara suami dan isteri seimbang, sepatutnya tidak timbul isu menyalahkan mana-mana pihak. Jika ini melanda anda, jangan terlalu susah hati kerana ramai lagi pasangan mengalami masalah begini.

Bancian menunjukkan 87 hingga 90 peratus pasangan berjaya mendapatkan anak selepas setahun berkahwin dan mengamalkan seks tanpa perlindungan. Sebanyak 10 hingga 13 peratus lagi ada masalah kesuburan dan 20 peratus daripadanya yang mendapatkan rawatan kesuburan berjaya mendapatkan anak.

Dr Abdul Ghafar berkata, bagi lelaki, dua faktor utama menyumbang kepada perkara ini, iaitu ketidakupayaan melakukan hubungan seksual dan masalah sperma. Manakala masalah di pihak isteri lebih banyak seperti keupayaan mengadakan hubungan seks, masalah ovulasi, endometriosis, ketiadaan organ reproduktif iaitu rahim serta mempunyai antibodi terhadap sperma dan ovum.

“Masalah sukar mendapat anak adalah masalah bersama dan perlu dirawat. Sama-sama perlu menjalani pemeriksaan kesuburan dan memberi kerjasama apabila mendapatkan rawatan. Pengesanan awal akan meningkatkan peluang untuk berjaya.

“Peluang juga bergantung kepada umur isteri sebab kualiti telur menurun dengan peningkatan umur. Ini sebabnya penyiasatan kesuburan perlu dilakukan secepat mungkin, terutama bagi pasangan melebihi umur 35 tahun,” katanya dalam ceramah kesihatan bulanan anjuran LPPKN mengenai bayi tabung uji.

Katanya, masalah kesuburan boleh dibahagikan kepada faktor suami dan isteri, iaitu:

Pengurusan masalah kesuburan mempunyai beberapa peringkat; dimulakan dengan penyiasatan (mengenal pasti punca), rawatan, pemantauan ke atas tindak balas terhadap rawatan serta tindakan seperti mempertemukan benih.

Penyiasatan untuk suami pada umumnya jauh lebih mudah dan ringkas kerana ia hanya membabitkan pemeriksaan air mani, iaitu untuk mengetahui bilangan sperma, kebolehannya berenang dan mempunyai bentuk normal.

Air mani lelaki mesti mempunyai sekurang-kurangnya 20 juta sperma bagi setiap satu mililiter dan 50 peratus daripadanya perlu boleh bergerak cergas dan berenang dengan baik. Daripada jumlah ini, 30 peratus mesti mempunyai bentuk normal kerana sperma perlu berenang melepasi rahim menuju ke telur yang menanti dalam tiub fallopian.

“Ujian pada lelaki bukan saja mudah, tetapi boleh dilakukan bila-bila masa. Sebaliknya pemeriksaan wanita hanya boleh dilakukan pada waktu tertentu, iaitu ketika pengeluaran telur yang membabitkan beberapa peringkat seperti analisis hormon yang dipanggil Hormon Perangsang Folikel (FSH) dan hormon Lutein (LH).

“Hormon FSH bertugas memilih telur, manakala hormon LH bertanggungjawab merangsang perkembangan telur. Biasanya jika paras hormon ini dalam keadaan baik, ia menunjukkan telur yang akan dikeluarkan juga baik,” katanya.

Wanita juga perlu menjalani pemeriksaan tiub fallopian, iaitu tempat benih berjumpa, supaya dalam keadaan baik dan tidak tersumbat. Pemeriksaan ini boleh dilakukan melalui ujian sinar-X dan memasukkan sedikit pewarna khas ke dalam tiub. Satu teropong dipanggil elektroskopi akan dimasukkan di bawah pusat bagi melihat keadaan tiub ini.

Status rahim dan ovari juga akan diperiksa untuk mengesan ketumbuhan atau masalah dalam rahim seperti fibroid, endometriosis serta sista.

Dr Abdul Ghafar berkata, haid yang tidak teratur antara petanda masalah kesuburan. Dalam keadaan biasa (haid teratur), bukan semua telur dihasilkan mempunyai benih. Dianggarkan antara 60 dan 70 peratus yang berkualiti dan mempunyai benih. Bagi yang menghadapi masalah haid tidak teratur, bermakna pengeluaran telur juga tidak menentu.

Namun, jangan berputus asa kerana ada rawatan boleh membantu mendapatkan anak. Antara kaedah sekarang ialah IVF (persenyawaan in-vitro), IUS (permanian beradas) atau ICSI (menyuntik sperma ke dalam telur) — semuanya adalah rawatan panjang.

Namun yang paling popular ialah IVF. ICSI hanya dilakukan jika suami mengalami masalah kurang sperma atau mempunyai sperma berkualiti rendah. Dalam IVF, pemeriksaan telur dijalankan terlebih dulu bagi memastikan ia mengandungi benih sebelum disenyawakan.

Kemudian baru telur disenyawakan dengan sperma membentuk embrio. Embrio ini dipantau sepanjang masa kerana 60 hingga 70 peratus saja yang akan ‘hidup’. Selepas dua hari, baru embrio ini disuntik masuk ke dalam rahim.

Selepas dua minggu, wanita perlu menjalani ujian hormon. Jika paras hormon tinggi, peluang embrio membesar menjadi janin juga cerah. Pada masa sama, wanita berkenaan memerlukan suntikan hormon bagi menghalang kelenjar pituitari mengeluarkan FSH dan LH.

Dr Abdul Ghafar berkata, walaupun bunyinya sukar, ia memberi harapan kepada pasangan untuk menimang anak sendiri.

Faktor lelaki
 
- Tidak upaya melakukan hubungan seks.

- Masalah sperma.

Faktor wanita

- Masalah melakukan hubungan seks.

- Masalah ovulasi.

- Kehadiran endometriosis.

- Ketiadaan rahim.

- Mempunyai antibodi terhadap sperma dan ovum (telur).

- Umur

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...